Siapa Tamar Jalis (TJ) sentiasa menjadi tanda tanya kepada peminat siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) yang cukup terkenal di sekitar tahun 1980an. Saya tidak terkecuali dalam mengikuti kisah yang disajikan dalam buku tersebut. Garapan cerita, olahan bahasa serta teknik penceritaan membuatkan pembaca tidak merasa jemu maupun letih. Lantas, timbul keinginan dalam diri ini bertemu saudara Tamar Jalis walau di mana jua berada.
Penantian saya berakhir pada bulan Jun 2011. Pengumuman melalui dada akhbar bahawa saudar TJ akan menemui peminat-peminat buat julung-julung kali di Perak telah memberi satu kepuasan kerana tanda tanya siapa gerangan penulis akan terjawab akhirnya.
Walaupun, saya tak berkesempatan untuk bersama-sama ketika beliau memperkenalkan diri dek kerana sibuk bekerja namun saya tetap dapat menatap wajah beliau di dada akhbar dan di internet. Sejak dari hari itu, saya telah bertekad untuk berusaha menemui penulis yang sekian lama menjadi misteri. Saya tersenyum sendirian apabila terkenang kembali terdapat beberapa orang yang turut mengaku sebagai TJ di laman blog masing-masing. Saya tidak teruja untuk membicarakan kerenah manusia yang sering bersikap lembu punya susu, sapi yang dapat nama. Sebaliknya, saya hanya ingin berkongsi pengalaman hidup seorang insan kerdil dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh berliku dan pancaroba bersama-sama beberapa tokoh yang pernah mewarnai dunia melayu kita abad ini.
Saudara TJ adalah tokoh pertama yang ingin saya tonjolkan sebagai penggiat seni yang tidak memikirkan dunia glamor dan kemasyuran diri. 24 Julai 2011, di satu tempat yang dijanjikan maka bertemulah saya dengan saudara TJ yang selama ini bersarang dalam sanubari bukan sahaja diri ini bahkan ribuan peminat karya beliau iaitu Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ).
Syukur pada Allah swt kerana telah mengizinkan pertemuan tersebut yang memakan masa hampir 3 jam. Beliau yang lebih senang dipanggil sebagai Abang Mad cukup ceria dala perbualan. Berumur 73 tahun namun kelhatan seperti berusia dalam lingkungan 50an. Sentiasa merendah diri dalam berbicara walau pada hakikatnya mempunyai khazanah anak bangsa yang diwarisi dari keturunannya.
Soalan pertama yang saya ajukan, " Dah mandi embun ke Abang Mat? Tertawa beliau apabila mendengarkan pertanyaan saya sambil menjawab, "sekarang ni susah dah nak mandi embun. Banyak perkara yang perlu diambilkira". Jelaslah bahawa dalam arus perubahan zaman banyak perkara yang tidak dapat dipertahankan. Namun, alhamdulillah sekurang-kurangnya Abang Mad sudi untuk memperturunkan kaedah atau caranya. Jelas pada raut wajah beliau ilmu mandi embun telah memberi kesan yang positif kerana tidak dimakan usia. Sekurang-kurangnya itulah yang saya nampak dari segi luaran. Tidak mengherankan jika terdapat lain-lain khasiat kepada pengamal ilmu orang dahulu kala.
Di antara syarat untuk mandi embun adalah mesti diambil dari titisan pada daun yang tertentu untuk menghindari dari rasa gatal pada tangan dan muka. Selain dari itu, hanya beberapa titis sahaja digunakan yang akan disapu pada tangan dan muka sambil berselawat. InsyaAllah, pada kesempatan yang akan datang saya akan berkongsi apa jua ilmu yang beroleh dari Abang Mad. Marilah sama-sama kita memanjatkan doa agar Abang Mad beroleh kesihatan yang baik serta umur yang panjang agar pertemuan yang akan datang dapat dikongsi bersama-sama anda semua.
Pada pertemuan akan datang, saya juga akan berkongsi kisah dan pengalaman Tok Awang Ngah (TAN) yang turut terkenal pada tahun 1980an. Rupanya, kedua-dua penulis ini adalah bersahabat baik dan saling kenal antara satu sama lain. Walaupun saudara TAN telah dua tahun meninggalkan kita namun seboleh mungkin saya akan cuba berkongsi kisah allahyarham buat tatapan dan pengetahuan peminat siri Berkelahi Dengan Syaitan (BDS) yang saya percaya turut mempunyai pengikut tersendiri. Abang Mad ada memaklumkan bahawa saudara TAN pernah berkata bahawa tidak salah untuk diketengahkan pengalaman dalam menghadapi makhluk lain ciptaan Allah swt agar generasi akan datang dapat mewarisi ilmu dan pengalaman orang terdahulu agar dapat dijadikan pedoman.
Salam hormat dan penuh takzim.Moga bertemu di lain kelapangan..
No comments:
Post a Comment