Tuesday, 25 October 2011

Siapa Tamar Jalis 2




Salam hormat dan penuh takzim kepada anda peminat dan pendokong warisan bangsa. Khazanah warisan bangsa akan lenyap ditelan kealpaan kita dalam menjalani kehidupan seharian yang sesungguhnya jauh berubah berbanding zaman datuk dan nenek kita di zaman sebelum kemerdekaan. Marilah kita sama-sama mewarisi khazanah bangsa sendiri agar identiti bangsa tidak hilang secara tidak disedari.

Di kesempatan kali ini, saya ingin berkongsi gambar kenangan bersama saudara Tamar untuk tatapan saudara-saudara para pembaca, peminat siri SBDJ walau di mana jua berada.

Dalam pertemuan itu, saudara Tamar ada menyatakan bahawa beliau sememangnya tidak merasakan apa-apa keistimewaan mengenai kebolehan  datuknya. Secara jujur beliau merasakan datuk beliau sama seperti orang lain. Hanya selepas siri SBDJ berjaya manaikkan jualan majalah Variasari barulah beliau merasa terkilan kerana tidak benar-benar mencatit secara terperinci segala ilmu yang ada pada datuknya. Benarlah kata orang tua, sesuatu itu akan hanya dihargai setelah pendokongnya berlalu pergi.

Atas sebab itulah saya akan tanpa segan silu berusaha untuk menemui tokoh-tokoh yang dirasakan mempunyai ilmu dan pengalaman yang boleh dikongsi oleh generasi akan datang. Bukan kuat dan hebat yang dicari kerana itu semua milik Illahi.

Dikhabarkan juga telah ada usaha untuk menerbitkan drama mengenai SBDJ dan sedang dalam peringkat awal perbincangan. Semoga usaha ini akan beroleh kejayaan agar karya ini dapat diterjemahkan sebaik mungkin.

Saya turut bertanyakan nama ilmu persilatan yang diwarisi namun saudara Tamar menyatakan bahawa nama silat  lebih dikenali dengan panggilan pendekar yang menguasai gerak gaya sesuatu persilatan. Terdapat juga nama silat yang dinamakan sempena nama tempat, binatang dan lain-lain. Oleh sebab itulah saudara Tamar menjelaskan bahawa silat yang dipelajarinya tidak bernama. Walau bagaimanapun, seingat beliau, silat Harimau dan silat Banja adalah antara silat yang pernah dipelajari oleh datuk beliau. 

Apabila ditanya tentang amalan kerohanian datuk beliau, saudara Tamar menjelaskan bahawa datuk beliau sering menggunakan surah Al Fatihah, Yasin, al Qursi dan selawat sebagai pelindung, pendinding dan penentang gangguan syaitan. Di samping kuat dalam menjalani ibadat solat sunat di malam hari serta menghabiskan masa dengan mengaji al Quran.

InsyhaAllah pada akhir bulan ini SBDJ 2 akan mula dijual. Oleh itu sokongan dari anda semua adalah amat dialu-alukan agar mendapatkan buku kedua tersebut sebagai bahan bacaan atau menjadi koleksi simpanan di masa akan datang. Nasihat saudara Tamar agar kita jangan bersifat panas baran dan pantang dicabar kerana sifat ini akan akan hanya menyebabkan kita tidak waras dalam tindak tanduk.

Semoga bertemu lagi di lain kesempatan dalam membicarakan tokoh kedua iaitu siapa Tok Awang Ngah, siapa guru dan sahabat beliau dan apakah sumbangan beliau dalam arena penulisan. Saya juga akan berkongsi gambar sahabat-sahabat beliau seperti saudar Kadir Misai yang selalu menemani dalam mengubat pesakit dalam siri Berkelahi dengan Syaitan. Akhir kata, salam hormat dan penuh takzim dari saya kepada anda semua peminat dan pewaris khazanah bangsa.

2 comments:

  1. mohamad zubir sidi25 October 2011 at 21:52

    assalamualaikum,

    teruskan perjuangan.

    ReplyDelete
  2. Wslm. Selamat Pengantin Baru buat tn dan isteri tersayang. Semoga beroleh keluarga yang mendapat keredhaan Allah swt sentiasa.

    ReplyDelete