Dapat Kancil badan berjalur,
Biar carik baju di badan,
Asalkan hati bersih dan jujur.
Ramai orang menggali perigi,
Ambil buluh lalu diikat,
Ilmu dicari tak akan rugi,
Buat bekalan dunia akhirat
Begitulah halus dan tinggi seni peradaban bangsa Melayu. Bermadah pujangga dan berpantun seloka apabila berbicara.Semoga "Takkan Melayu hilang di dunia" akan kekal hingga ke akhirnya. Salam pertemuan buat sekalian kalinya. Bicara terakhir tentang siapa di sebalik nama pena Tok Awang Ngah kini bersambung ceritera. Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus menunaikan kewajipan dalam melaksanakan ibadat pekerjaan di pejabat, akhirnya terhidang ruang untuk berkongsi bicara. Lambat bukan disengajakan cuma turut memberi ruang dan peluang kepada kenalan tokoh yang dibicarakan untuk bersama dalam berkongsi kisah dan pengalaman yang mungkin sekelumit cuma yang mengetahui. Sememangnya, sukar untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki lantaran tokoh yang dikisahkan telah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita.
Sebagaimana yang telah saya maklumkan sebelum ini, watak 'ustaz' atau 'Tok Awang Ngah' (TAN) dalam Siri Berkelahi Dengan Syaitan adalah Allahyarham Abdul Muluk Bin Daud. Bagi peminat ustaz, saya sertakan wajah beliau bagi menghilangkan tanda tanya siapakah dan bagaimanakah gerangan dan wajah penulis yang begitu terkenal pada sekitar tahun 1980an.
Pada kesempatan ini juga, sekalung penghargaan dan terimakasih yang tidak terhingga kepada sahabat saya, YM Raja Norazli, Ketua Penolong Pegawai Daerah Jelebu serta Ybhg Tn Guru Ustaz Nazri atau Ayi (merupakan murid kepada ayah ustaz iaitu Alahyarham Dato Haji Sati bin Haji Daud) serta Saudara Tamar Jalis atau Abang Mad yang telah memberi panduan dan pedoman siapa yang patut saya temui bagi mencungkil dan mengenali TAN dengan lebih dekat.
Namun, saya ingin memohon maaf kerana beberapa tokoh yang pernah bersama ustaz tidak dapat dikesan seperti siapa Alang Bumin dan lain-lain watak dalam kisah Berkelahi Dengan Syaitan (BDS). Apa yang dimaklumkan kepada saya ialah terdapat watak-watak yang turut telah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Nama samaran yang digunakan turut menyulitkan proses mengumpul maklumat kenalan, sahabat serta keluarga ustaz. Terdapat juga maklumat yang mengatakan mungkin Alang Bumin pernah menetap di Kampung Peradong, Jelebu semasa hayatnya. Walau bagaimanapun, saya tetap mengharapkan agar sesiapa dari kalangan pembaca yang mengenali arwah atau keluarga serta sahabat arwah bolehlah berkongsi apa jua maklumat bagi pengetahuan bersama.
Dalam pencarian, saya dimaklumkan tentang dua pendapat tentang ustaz iaitu pertama, tidak semua kisah yang disajikan merupakan pengalaman arwah sendiri dalam mengubat pesakit. Bahkan, terdapat cerita yang digarap merupakan pengalaman sahabat arwah sendiri. Saya bersependapat dengan pandangan ini kerana terdapat kisah Saudara Kadir Misai (nama samaran sahabat arwah) mempunyai persamaan dengan kisah orang yang mempunyai ilmu boleh bertukar menjadi harimau, apabila meninggal akan menjelma menjadi harimau sekiranya beberapa syarat tertentu tidak dipatuhi. Sebagai contoh, saudara Kadir Misai menceritakan bahawa arwah bapa beliau boleh berubah menjadi harimau apabila keadaan memerlukan. Menurut beliau sesiapa yang mempunyai ilmu ini bisa bertukar menjadi harimau setelah meninggal kelak. Walau bagaimanapun, tidak semua pengamal ilmu ini akan bertukar menjadi harimau apabila jenazah telah dikebumikan.
Kisah ini ada persamaan dengan salah satu kisah yang dipaparkan iaitu seorang guru agama sebelum meninggal dunia telah sempat berpesan kepada seorang anak murid kanan agar menunggu di kubur beliau pada kiraan hari tertentu dengan membaca ayat suci al Quran. Malangnya, setelah beberapa hari menunggu, dek kerana terlalu takut dengan ujian yang melanda, beliau telah meninggalkan kubur arwah guru sambil menyorok di atas sebatang pokok yang sekira-kiranya boleh melihat kubur gurunya. Alangkah terperanjatnya beliau apabila melihat kubur gurunya telah didatangi oleh harimau yang menggali serta menjilat jenazah gurunya sehingga tiba-tiba terpacul seekor harimau keluar dari kain kapan. Kedua-dua ekor harimau tersebut terus berlalu pergi menghala ke hutan yang berdekatan. Jelas terdapat persamaan di antara kedua kisah. Cuma sebagai penulis ustaz berkeupayaan untuk mempersembahkan dengan teknik penulisan yang lebih menarik.
Kedua, terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa ustaz sebenarnya tidak mengubat atau tidak mempunyai kemahiran untuk mengubat pesakit yang diganggu makhluk halus. Namun, saya berkeyakinan bahawa ustaz berkemampuan untuk mengubat kerana ustaz pernah menjadi Penolong Setiausaha Agung Silat Nasrul Haq. Dinyatakan juga ustaz permah berguru dengan Allahyarham Prof Muchtar Lintang. Prof sememangnya terkenal suatu ketika dulu kerana menjadi Penasihat Silat Nasrul Haq yang cukup dikenali sehingga kini. Aliran silat ini dilihat lebih dikenali dari silat yang sama aliran iaitu silat yang mengamalkan jurus kebatinan. Kemampuan Prof untuk mengubat pesakit dengan menggunakan teknik tidur turut digunakan oleh ustaz apabila mengubati pesakit dalam kisah BDS. Sehubungan dengan itu, saya merasa yakin dan percaya bahawa ustaz turut mempelajari serta menguasai ilmu tersebut.
Selain dari itu, terdapat kisah di mana ada ahli persilatan tersebut telah menjurus ustaz ketika berjalan masuk bersama ayahanda beliau ke dewan Muktamar Silat Nasrul Haq. Ahli tersebut tidak menyangka ustaz turut mempunyai 'isi' lalu menjurus ustaz secara sembunyi. Namun, alangkah terperanjatnya beliau apabila telah terpelanting sehingga tercedera lutut dan sikunya. Ahli yang ditemui setelah tamat muktamar telah mengakui bahawa beliau memang berniat untuk menguji ustaz lantaran ustaz memegang jawatan sebagai penolong setiausaha sambil tidak menyedari bahawa ustaz merupakan anak Dato Sati Daud.. Ini menunjukkan bahawa ustaz sememangnya berisi setelah menuntut dengan Prof. Bersama-sama ini saya turut menyertakan gambar Prof Muchtar Lintang untuk tatapan bersama.
Selain dari itu, saya turut berkesempatan menemui salah seorang murid Prof yang telah sempat menuntut sebelum Prof meninggal dunia. Murid tersebut telah memaklumkan bahawa ilmu yang diperolehi oleh Prof berasal dari Mesir iaitu ketika Prof menuntut di sana. Murid tersebut turut mempelajari teknik mengubat ketika tidur dan bersedia untuk menurunkan kepada sesiapa yang benar-benar berminat.
Saya turut menyertakan gambar Presiden Silat Nasrul Haq iaitu Tan Sri Haji Abdul Samad Idris bagi tatapan bersama. Kedua-dua tokoh ini telah berganding bahu dalam mengembangkan aliran silat ini sehingga menjadi begitu popular pada sekitar tahun 1960an. Walau bagaimanapun, aliran silat ini telah diharamkan oleh pihak Kerajaan kerana terdapat pertentangan dengan agama Islam. Namun, khabarnya, ramai di luar sana masih mengamalkan serta mempelajari ilmu ini dengan secara sembunyi atau bergerak dengan menggunakan nama silat lain. Wallahualam.
Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Satu keadaan yang sememangnya pasti. Semoga apa yang dipaparkan selama ini bisa memberi sesuatu yang boleh memberi kebaikkan atau sekurang-kurangnya boleh memenuhi masa lapang atau santai saudara dan saudari yang diredhoi sekalian. Segala yang baik dari Allah, yang buruk adalah jua dari izinNya jua, atas pilihan kita sendiri. Kalau kurang mohon ditambahkan, kalau silap mohon diperbetulkan, kalau salah mohon dimaafi, niat dihati cuma ingin berkongsi, apa yang selama ini menjadi rahsia hati, agar boleh dimanafaati oleh sekalian pembaca yang dirahmati.
Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang dirumpun buluh,
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah menyusun jari sepuluh.
Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi,
Hari mana bulan mana,
Dapat kita bertemu lagi.
Semoga bertemu lagi di lain paparan menjejak TOKOH KETIGA. Tidak lupa juga, salam penuh takzim buat Saudara Zairul dan terimakasih atas sokongan dan komen anda. Sekian. Wabilahi Taufik Wal Hidayah Wassalam Mualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.